Teori Kesatuan Kewujudan Jilid 3 : Hukum Pembelajaran
(The unified Theory of Existence: The laws of learning –
volume 3)
By: Muhammad al-Mahdi
Penerbit: ITNM
Page: 305
Buku ini merupakan sebuah buku yang dihasilkan oleh
Muhammad al-Mahdi yang pernah mengaku atheist. Melalui pengalaman kerjanya di
sebuah jabatan nuklear dan juga pencariannya selama hampir 14 tahun – dia
akhirnya menemui Tuhan dan dia menjadi Muslim. Muhammad al-Mahdi mencari
kebenaran di serata dunia dan mempelajari pelbagai agama sebelum belajar
berkenaan Islam – kerana di Amerika mereka sentiasa menyifatkan Islam sebagai
agama yang negatif. Pun begitu – dalam bertarung dengan kanser, beliau telah
meninggal dunia pada 2006. (Boleh baca berkenaan beliau di KTA – khalifahfoundation.com), kerana apa yang saya tulis ini tidak terkandung dalam
buku – berkenaan bibliografi beliau.
Buku ini menceritakan dalam bentuk dialog – antara Tinny
Rainbird yang merupakan seorang budak yang tidak pernah terdedah dengan
persekitaran dunia dan juga ahli falsafah. Melalui dialog mereka, Hukum Pembelajaran
diceritakan.
Bagi saya – saya sendiri tidak dapat menerangkan apa itu
hukum pembelajaran dengan jelas dan anda perlu membaca sendiri karya ini. Ia
menceritakan bagaimana sekiranya manusia memahami hukum pembelajaran – mereka
akan sedar akan faktor luar yang mempengaruhi tindakan dan kelakuan mereka.
Apabila manusia mengetahui dan memahaminya – manusia akan mampu mencapai tekad
bebas dan mengawal tindakan, dan inilah yang dikatakan bahawa manusia
menghampiri kesempurnaan. (Meskipun telah dinyatakan bahawa manusia tidak mampu
mencapai kesempurnaan – tetapi sekurang-kurangnya manusia akan mampu menghampiri
kesempurnaan).
Banyak perkara dibincangkan dalam buku ini – terutamanya
berkenaan pelaziman yang membentuk tingkah laku manusia. Kemudian juga tentang
tindak balas manusia terhadap pelaziman, kemudian juga berkenaan pengukuh
primary dan sekunder. Ada juga menceritakan berkenaan mengapa budak merengek
secara agresif untuk meminta sesuatu dan juga berkenaan perokok, homoseksual
dan keganasan.
Buku ini merupakan buku terjemahan daripada bahasa
Inggeris – dan saya boleh katakan bahawa anda perlu terbiasakan diri untuk
berada didunia yang selari dengan bahasa yang digunakan. Anda memerlukan
pemahaman dan kerajinan untuk benar-benar memahami buku terjemahan.
Secara keseluruhannya – saya percaya buku ini adalah buku
yang wajar dibaca. Tetapi sukar sekali saya boleh meyakinkan bahawa kebanyakan
orang akan membacanya. Ia hanyalah sebuah buku teori berbanding banyak lagi
buku teori – namun bagi saya ia adalah sebuah khazanah kerana buku ini telah
menyelamatkan masa saya dengan sangat banyak kerana ia turut menjawab beberapa
persoalan yang telah terperangkan didalam sanubari saya.
eMii_
010317 0727AM

No comments:
Post a Comment